THIQAH; ERTI DAN PERLAKSANAANNYA
Thiqah bererti percaya. Yang dimaksudkan di sini ialah kepercayaan terhadap kemampuan dan kebenaran pemimpin dalam setiap tindakan yang dilakukan tanpa sebarang keraguan selama mana ia tidak bercanggah dengan syarak.
Kata Imam Hasan al-Banna:"Yang saya maksudkan dengan thiqah ialah keyakinan seorang jundi (pengikut) terhadap qiadah (pemimpin) pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan."
Thiqah adalah kewajipan setiap anggota jemaah. Firman Allah SWT:فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِيۤ أَنْفُسِهِمْ حَرَجاً مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman, sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian merka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.[An-Nisa`:65]
Syeikh Mustafa Masyhur menerangkan:"Wajib ke atas setiap muslim untuk thiqah terhadap epmimpin dengan thiqah yang tinggi tanpa batasan. Thiqah iniilah yang melahirkan rasa tenang dalam hati lalu membuahkan rasa sayang, redha, hormat dan taat."
Sebagai pelengkap kepada rukun baiah, seorang anggota jemaah perlu menghiasi diri dengan sifat thiqah yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan. Ianya merupakan kunci keutuhan sesebuah jemaah. Tanpa thiqah, seseorang akan mudah diperdaya oleh musuh yang sememangnya mahu memecahbelahkan jemaah. Tanpa thiqah, hilanglah ketaatan dan tanpa ketaatan musnahlah jemaah.
Para sahabat telah menunjukkan thiqah mereka kepada Nabi SAW dalam peristiwa Hudaibiah. Ketika Nabi memutuskan secara tiba-tiba untuk menerima perjanjian hudaibiah sekaligus membatalkan umrah yang dirancang, pada mulanya ramai sahabat yang tidak boleh menerima. Umumnya, perjanjian ini berat sebelah dan kandungan perjanjian tidak dibincang dan diputuskan melalui mesyuarat. Sikap Nabi SAW yang kelihatan banyak mengalah dan berlemah-lembut terhadap musuh.
Ini menyebabkan Saidina Umar berjumpa Rasulullah SAW mendapatkan penjelasan. Namun setelah beberapa ketika, mereka akur walaupun tanpa memahami muslihat terselindung. Akhirnya, kepercayaan yang diberikan kepada Rasulullah menampakkan hasil apabila 2 tahun kemudian, berlakulah pembukaan Kota Mekah dalam keadaan yang sangat aman dan dramatik.
Ketika umat Islam berhadapan dengan perang kali pertama iaitu perang Badar, Rasulullah telah memanggil para sahabat untuk membincangkan ketetapan samada mahu berperang atau tidak. Saad bin Muaz telah menyatakan sesuatu yang menunjukkan thiqah yang tinggi terhadap kepimpinan Rasulullah SAW. Katanya:
فَامْضِ يَا رَسُولَ اللّهِ لِمَا أَرَدْت فَنَحْنُ مَعَك ، فَوَاَلّذِي بَعَثَك بِالْحَقّ لَوْ اسْتَعْرَضْت بِنَا هَذَا الْبَحْرَ فَخُضْته لَخُضْنَاهُ مَعَك ، مَا تَخَلّفَ مِنّا رَجُلٌ وَاحِدٌ وَمَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِنَا عَدُوّنَا غَدًا ، إنّا لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللّقَاءِ . لَعَلّ اللّهَ يُرِيك مِنّا مَا تَقُرّ بِهِ عَيْنُك ، فَسِرْ بِنَا عَلَى بَرَكَةِ اللّهِ
Maralah Wahai Rasulullah dengan apa yang kamu kehendaki. Kami tetap bersamamu. Demi yang telah mengutuskanmu dengan haq, seandainya laut dihadapan kita dan kau mengharunginya, nescaya kami akan turut mengharunginya. Tiada seorangpun kalangan kami yang akan berundur. Kami tidak kisah untuk bertemu musuh nanti. Sesungguhnya sabar dalam peperangan adalah kebenaran dalam pertembungan. Mudah-mudahan Allah menenangkan kamu dengan adanya kami. Maka maralah bersama kami dalam keberkatan Allah.
Dalam gerakan Islam, pemimpin biasanya dilantik atau melalui syura di kalangan ahli melalui proses yang telah dipersetujui (seperti muktamar). Mereka yang memilih adalah dari kalangan individu yang layak dan dipercayai. Justeru, prinsip amal jamaie telah menegaskan bahawa pemimpin yang telah dilantik, biarpun ia hanya seorang hamba adalah wajib ditaati, dipercayai (diberi thiqah), dan wala’ kepadanya.
Sebagai manusia biasa, semua mempunyai kelemahan. Kesempurnaan hanyalah milik Allah SWT. Justeru itu, pemimpin juga ada kelemahan dan kekurangan sendiri. Tetapi kita yang memilih mereka berdasarkan keseluruhan kelebihan yang ada pada mereka. Kekurangan mereka hendaklah ditampung denfgan bantuan orang-orang bawahan supaya jemaah itu menjadi kuat.
SIKAP SEORANG YANG THIQAH
1. Mentaati walau apa yang diperintah.
2. Percaya kemampuan pemimpin.
3. Akur walaupun pandangannya tidak diterima.
4. Jangan cepat melatah sekiranya timbul ketidakpuashatian.
5. Rujuk kepada pimpinan secara terus untuk mendapatkan penjelasan.
6. Menolong untuk menjayakan perancangan pemimpin.
7. Menghormati pemimpin.
8. Melindungi pemimpin dari tohmahan dan serangan luar dan dalam.
PERKARA YANG MENIMBULKAN THIQAH
1. Menganggap diri lebih lemah dari pemimpin.
2. Mengenali pemimpin dengan lebih dekat.
3. Membuang sifat sombong.Sentiasa berbincang dengan pemimpin.
4. Sentiasa menghadiri program yang dianjurkan kepimpinan jemaah.
5. Membaca kisah-kisah thiqah pengikut nabi saw.
HAKIKAT PERJUANGAN
Dalam mendidik hati untuk thiqah kepada pemimpin, ada beberapa perkara yang seharusnya difahami oleh ahli. Antaranya:
1. PERKARA YANG MEMERLUKAN KEPUTUSAN SEGERA.
Bukan semua perkara mempunyai runag untuk dibincangkan bersama, kerana mengumpulkan seluruh ahli mesyuarat memerlukan masa yang agaka lama, sedangkan Islam adalah sebuah gerakan yang sentiasa hidup dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mesyuarat. Pemimpin ibarat akal kepada gerakan Islam yang sentiasa berfikir tanpa henti. Oleh itu ada keputusan yang terpaksa dibuat segera tanpa mendapat kelulusan mesyuarat.
Dalam peristiwa Sulhu Huadibiah, Rasulullah SAW membuat keputusan sendiri untuk menerima perjanjian, sedangkan sebelum itu mereka telah setuju untuk masuk ke Mekah dalam Baiatu Raidhwan.
2. PERKARA YANG BERSIFAT RAHSIA YANG TIDAK BOLEH DIDEDAHKAN
Kerana bimbang orang-orang munafik yang berada dalam saf perjuangan Islam, bukan semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka. Ada perkara yang hanya dibincangkan dua tiga orang kepimpinan tertinggi seperti dewan harian dan sebagainya, melihat kepada status sesuatu strategi. Oleh itu, ahli perlu meletakkan kepercayaan bahawa semua keputusan dibuat untuk kepentingan Islam dan jemaah.
Rasulullah SAW mengumpulkan tentera secara mengejut untuk Pembukaan Kota Mekah. Masing-masing tidak diberitahu kemanakah Rasulullah ingin tuju melainkan sahabat-sahabat kanan, sehinggalah sampai ke kem berdekatan Mekah. Ini bertujuan untuk mengelakkan rancangan memasuki Mekah bocor ke pengetahuan pihak mussyrikin Quraisy.
3.PERKARA YANG PERLU DIKORBANKAN DEMI MEMPEROLEHI MANFAAT YANG LEBIH BESAR
Kaedah fiqh menggariskan, harus mengorbankan manfaat kecil demi manfaat yang lebih besar:تقدم مصلحة المستقبلة القوية على المصلحة الآنية الضعيفة
Diutamakan maslahah masadepan yang kuat daripada maslahah semasa yang lemah.
Kaedah fiqh juga ada menyebut:يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى
dibenarkan melakukan keburukan yang kecil demi mengelakkan keburukan yang besar.
4. ALLAH BERSAMA PEMIMPIN ISLAM
Kepimpinan dilantik melalui proses pemilihan syura seperti mesyuarat tertinggi ataupun muktamar penuh. Pemimpin tersebut adalah mereka yang mendapat sokongan ahli teramai. Ini bermakna, kepimpinannya mewakili suara jemaah Islam. Oleh kerana itu, keputusan yang mereka putuskan adalah keputusan jemaah.Sabda Rasulullah SAW:
لا تجتمعوا أمتي على الضلالة
Umatku tidak akan berhimpun dalam kesesatan. [HR Abu Daud]
5. PERJUANGAN DALAM BIDANG DEMOKRASI MEMERLUKAN KEPANDAIAN BERSILAT DI MEDIA
Gerakan Islam moden kebanyakan menerima demokrasi sebagai mwasilah silmiyyah untuk menegakkan Islam. Dalam selok belok politik, pemimpin haruslah bijak mengeluarkan kenyataan apabila ditanya oleh wartawan media supaya tidak menjejaskan sokongan politik dan membahayakan jemaah. Oleh sebab itu, mungkin ada beberapa kenyataan yang begitu berlapoik sehingga menimbulkan keraguan kepada ahli tentang sikap pemimpin.
Perkara ini haruslah diinsafi oleh pengikut bawahan supaya mereka tidak syak wasangka dan terus meletakkan kepercayaan bahawa jawapan kepada media mungkin tidak menggambarkan secara jelas pendirian sebenar pemimpin tersebut. Untuk mendapatkan kepastian, segeralah merujuk kepada pemimpin dan bertanyakan secara tertutup dengan mereka.
HAK SEORANG PEMIMPIN
1. Memutuskan Perkara Yang Dirasakan Paling Tepat mengikut ilmunya.
2. Memutuskan sesuatu tanpa mesyuarat dalam perkara yang memerlukan keputusan segera.
3. Menerima sokongan setiap pengikut.
4. Menerima ketaatan dari pengikut dalam perkara maaruf
5. Menerima nasihat daripada pengikut.
Kata Imam Hasan al-Banna:"Pemimpin mempunyai hak seorang bapa dari sudut ikatan hati, hak seorang ustaz dari sudut memberi ilmu, hak seorang syeikh dari sudut pendidikan rohani dan hak seorang pemimpin dari sudut siasah dan polisi umum dakwah."
KESAN TIADA THIQAH
1. Strategi akan tergendala.
Apabila tiba-tiba berlaku ketidakpercayaan di kalangan pengikut, akan ada mereka yang tidak melakukan arahan sebagaimana yang dirancang. Perakara ini telah berlaku ketika ketua munafiq, Abdullah bin Ubai menyebarkan propaganda sehingga umat satu pertiga umat Islam yang sedang menuju ke Uhud hilang kepercayaan kepada kepimpinan Rasulullah, lalu berpatah pulang ke Madinah. Ini menyebabkan susunan tentera kucar kacir dan Rasulullah terpaksa mengubah strategi untuk menghadapi musyrikin dalam jumlah yang lebih sedikit.
2. Objektif tidak akan tercapai
Tanpa kerjasama pengikut, matlamat tidak akan dicapai kerana jemaah Islam memerlukan kekuatan yang kolektif. Jemaah tidak bergantung kepada seorang ketua atau individu sahaja. Kegagalan sebahagian anggota menjalankan tugas yang diamanahkan mampu menggagalkan seluruh perancangan.
3. Gerakerja akan berlaku secara sendirian.Akibat tidak percaya, masing-masing akan bertindak mengikut kepala sendiri. Tidak akan wujud lagi tolong menolong dan masing-masing akan membawa haluan sendiri. Ada yang kanan, ada kekiri malah ada yang pusing kebelakang. Akibatnya, bukan sahaja jemaah tidak maju malah terhalang dengan karenah ahli yang berbagai ragam.
4. Timbul permusuhan dalaman
Persaudaraan akan terjejas, syak wasangka sesama sendiri akan berleluasa dan serang-menyerang, tuduh menuduh akan berlaku kerana cuba jatuh-menjatuhkan sesama sendiri.
5. Mampu meruntuhkan jemaah
Paling parah, ketidakpercayaan akan membawa kepada permusuhan dalaman yang memudahkan musuh untuk menyelinap masuk untuk meruntuhkan lagi jemaah.
Sumber:
Pandangan semula terhadap risalah taalim - Muhammad Abdullah al-Khatib
Mufakkirah Dakwiyah - Ahmad Abdul Muhsin Assaf
Qudwah Ala Toriq Dawkah – Syeikh Mustafa Masyhuri
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment